Aku Tak Ada Duitlah…

4 min readFeb 6, 2025

--

Aku sangat benci setiap kali dengar alasan ini.

Kita adalah generasi yang ada internet 1GBps di smartphone dan lambakan informasi di semua media sosial.

Duit bukan sebab utama kegagalan. Kau bukan kekurangan wang — kau cuma kurang motivasi untuk menggunakan duit sebagai alat mencapai objektif.

Jika tiada wang, keberanian harus menjadi modal.

Bak kata Azri Walter “kalau tiada modal, gunakan modal insan”.

“Tak boleh travel sebab tak ada duit?”

Dulu aku pun fikir macam itu. Tapi ada seorang kawan namanya Syafiq, yang buktikan sebaliknya. Dia mahu melancong ke Hatyai tapi bajet ketat. Jadi, dia tukar mod melancong ke backpacker dan dia naik bas dari TBS ke Hatyai, tidur di hostel RM50/malam, dan makan di warung lokal Thai.

Syarat utama ke Hatyai? Pasport. Bukan pakej Hatyai ALL-IN. Dia balik ke Malaysia selepas satu minggu dan pulang dengan pelbagai pengalaman, kawan baru dan kisah peribadi yang menginspirasikan kami waktu di kolej ketika itu.

Dia lalu semua experience yang orang khabarkan di Facebook dan dia dengar di kedai mamak sebelum itu. Dan pulang dengan cerita dan pengalaman yang lebih fresh.

Duit Hanya Alat, Bukan Halangan

Ada satu ketika dalam hidup, kau perlukan wang untuk mendapatkan mata wang lebih besar : masa. Kita semua diberi modal yang sama — 24 jam sehari.

Belum pernah aku jumpa orang yang dapat tambahan 3 jam sehari atau kurang 3 jam sehari dalam hidup. Semua orang sama. Dapat 24 jam.

Bezanya, bagaimana kita melaburkan masa ini.

“Every day is a bank account, and time is our currency. No one is rich, no one is poor, we’ve got 24 hours each.” — Christopher Rice

Di perumahan tempat aku tinggal sekarang, ada seorang anak muda dengan 4 orang anak kecil yang berniaga shawarma. Jujurnya, shawarma yang dia hasilkan, jauh lebih sedap dari 100 kedai shawarma di Bukit Bintang.

Mulanya, dia memang tiada modal yang besar. Cukup sekadar stall burger terpakai yang masih elok dan barang basah. Dia berniaga dari 11AM — 6PM setiap hari, sampai mampu gajikan pekerja untuk 2 cawangan berbeza dalam masa 12 bulan.

Inilah contoh bila kau berjaya dapatkan masa. Kau setup bisnes yang mampu gajikan pekerja yang buat kerja renyah supaya kau dapat fokus kerja yang lebih produktif.

Kali terakhir aku jumpa dia, sedang sibuk merangka bisnes baru yang lebih mencabar dan tentunya…Menguntungkan.

Mindset Kemiskinan Adalah Musuh Utama

Bila kau ulang-ulang “aku tak ada duit,” kau sedang melatih minda untuk percaya bahawa kau memang akan kekal miskin. Ini bukan teori kosong — banyak kajian menunjukkan bahawa pemikiran kita mempengaruhi tindakan kita.

Hadis Nabi ada menyebut:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam.” — Riwayat Bukhari dan Muslim

Alan Weiss mentakrifkan mindset kemiskinan sebagai:

“Kepercayaan bahawa wang tidak patut dibelanjakan, peluang adalah terhad, sebarang risiko itu berbahaya, kejayaan bersifat sementara dan tidak boleh diulang.”

Sebagai contoh, aku ada seorang sahabat baik yang aku kenal sejak zaman kolej yang selalu takut untuk melabur dalam bisnes sendiri. Dia simpan duit bertahun-tahun dalam akaun bank tanpa berbuat apa-apa. Bila peluang datang, dia tolak sebab takut rugi.

Aku masih ingat saat dia tunjuk akaun bank dia, ada 5 angka simpanan saat berumur 26 tahun di Ampang Park sekitar jam 8PM.

Sembilan tahun berlalu, duit dia bukan semakin bertambah, malahan semakin berkurang sebab dia hanya ada satu strategi ; simpan duit. Ini namanya miskin pemikiran.

Simpan duit tak mungkin dapat lawan inflasi dan keperluan hidup yang makin bertambah.

Ciri-ciri pemikiran miskin dari pemerhatian aku :

  1. Potong bajet makan dan makan benda tak berkhasiat.
  2. Sentiasa percaya wang tidak akan pernah cukup.
  3. Percaya yang punca duit kurang adalah sebab orang lain.
  4. Suka ulang pemberian dan pinjaman diberikan pada orang lain.
  5. Percaya jadi kaya hanya nasib, bukan usaha.
  6. Ada rasa dizalimi dan dianiaya orang lain khususnya majikan.
  7. Pandang orang kaya sebagai jahat.

Contoh klasik? Orang yang sentiasa merungut harga makanan naik, tetapi diam-diam beli iPhone terbaru dengan buat loan telco atau loan lain. Asalkan tangan dapat pegang iPhone paling canggih waktu itu.

Fokus Pada Matlamat, Bukan Wang

Duit hanyalah alat, seperti tukul adalah alat untuk mengetuk paku. Kau perlukan tukul tapi tukul tiada? Gunakan apa yang ada. Batu, pemegang pisau, atau kasut — apa sahaja asalkan kerja siap. Begitu juga dengan wang. Jika kau benar-benar mahu mencapai sesuatu, kau akan cari jalan.

Aku setiap kali down, aku akan terkenangkan Azri Walter. Dari berniaga tepi jalan, badan gemuk dan sugul. Menjadi usahawan yang ada beberapa rangkaian bisnes.

Termasuk juga pendiri House of Amar. Dari tidak tahu nak berniaga apa, sampai ke fasa buat TikTok Live 8 jam sehari sampailah ke fasa ada butik perfume dan join festival perfume yang berprestif di Malaysia.

Aku bangga.

“Opportunity is missed by most people because it is dressed in overalls and looks like work.” — Thomas Edison

Kesimpulannya? Peluang selalu ada, tetapi ramai orang tak sanggup buat kerja keras yang diperlukan. Jika peluang datang dua kali, jangan lepaskan. Berhenti cakap “aku tak ada duit.” Sebaliknya, fikirkan: “Bagaimana aku boleh dapatkan duit untuk ini?”

Tukar pemikiran, ubah hidup kau.

--

--

Mehmed Aezhad
Mehmed Aezhad

Written by Mehmed Aezhad

Saya menulis artikel digital marketing dalam Bahasa Melayu untuk pembaca Medium di Malaysia.

No responses yet